Monday, 3 February 2014
Tuesday, 3 December 2013
UCAPAN PENUH KETUA PUTERI UMNO (PERHIMPUNAN UMNO 2013)
TEKS UCAPAN KETUA PUTERI UMNO MAS ERMIEYATI SHAMSUDDIN:-
Dengan izin, quo vadis, Puteri? Ke mana hala kita ini? Adakah kita mahu terus bersimpuh dalam zon selesa, atau adakah kita ingin melangkah jauh, keluar dari kotak, bingkas menggapai awan lalu mencipta pengalaman baru? Saya tahu jawapannya. Kita semua tahu jawapannya. Berdiri saya di sini membawa seribu harapan, harapan untuk sayap Puteri terus menyuluh jalan, melestari kecemerlangan.
Jauh berlayar si anak dagang
Dagang membawa bilah belati
Bukan datang sebarang datang
Datang membawa tekad di hati.
Sesungguhnya Perhimpunan kali ini amat signifikan buat saya. Pertamanya, inilah perhimpunan sulung selepas kita berjaya mengekalkan mandat dari rakyat pada pilihanraya umum ke13 yang lalu. Kedua, perhimpunan kali ini juga adalah merupakan perhimpunan yang pertama buat saya, para pegawai dan barisan Exco Puteri UMNO Malaysia yang baru dipilih, ketua dan naib puteri UMNO negeri-negeri yang baru dilantik serta ketua dan pimpinan Puteri UMNO bahagian-bahagian yang baru sahaja dipilih pada 12 Oktober 2013 yang lalu, samada melalui menang tanpa bertanding, bertanding dua penjuru, mahupun ada yang bertanding berpenjuru-penjuru. Tahniah dan syabas saya ucapkan.
Proses pemilihan parti menampakkan kesan positif kepada sayap ini. Sebanyak 75% daripada barisan kepimpinan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dan kepimpinan Puteri UMNO bahagian-bahaian kini adalah wajah baru. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih, serta memanjatkan rasa kesyukuran yang mendalam di atas segala kepercayaan dan amanah yang anda semua berikan, dalam menyediakan saf terbaik untuk menerajui Puteri UMNO Malaysia penggal ini. Insya-Allah, kami tidak akan mensia-siakan amanah ini. Alang-alang mandi, biar basah. Alang-alang berminyak, biar licin.Hari ini genaplah 53 hari saya diberi mandat untuk mengetuai Pergerakan Puteri. Dalam tempoh yang singkat ini ini,saya dan kepimpinan baru, telah diuji dengan pelbagai cabaran. Bermula dengan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau. Jentera merah jambu telah digerakkan dari Perlis hingga ke Sabah bagi membantu Barisan Nasional menawan kembali Dun ini. Dari bendang hingga daratan, dari miskin hingga kaya, dari muda hingga tua, dari berjalan hingga berkenderaan, tiada yang tertinggal, tiada terpinggir dengan sentuhan Puteri UMNO.
Gandingan exco baru dan lama bersama-sama kepimpinan Puteri UMNO Kedah nyata berjaya menggerakkan jentera Pilihan Raya Puteri dengan cemerlang sekali. Pengalaman dan ilmu yang saya garap ketika menerajui Unit Khas Pilihan Raya Puteri UMNO pada penggal yang lepas, alhamdulillah cukup membantu saya dalam menggalas tanggungjawab ini.Bukan setakat menyumbang kepada politik negara, kebajikan juga tidak pernah sirna dari perjuangan Puteri UMNO. Bila kita digemparkan dengan Tragedi Banjir Lumpur Empangan Ringlet, Cameron Highlands, tanpa berlengah lagi, kita bergegas menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat. Budaya prihatin dan mengutamakan kebajikan rakyat ini sudah lama wujud dalam DNA Puteri UMNO. Ianya selari dengan motto generasi wanita prihatin di awal penubuhan Puteri.Pada masa yang sama, saya telah mengadakan perjumpaan bersama dengan pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri bagi membincangkan, di samping mendapat persefahaman dan persetujuan mengenai lantikan Ketua dan Naib Puteri UMNO Negeri-Negeri. Ini getir, agar kepimpinan Puteri UMNO Negeri-Negeri dapat bekerjasama dengan baik di semua peringkat samada di peringkat nasional, negeri mahupun di peringkat bahagian-bahagian. Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas persetujuan yang termeterai, dan pesan saya, pikullah amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan ini dengan sepenuh jiwa dan raga, dan janganlah musnahkan harapan dan kepercayaan yang diberikan ini.Menyedari akan peri pentingnya kesatuan dalam perjuangan, pihak kami juga telah mengadakan “retreat” Kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Ia sejajar dengan hasrat untuk mewujudkan semangat kerjasama di kalangan pemimpin Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dengan meniupkan semangat Esprit D’ Corp dalam kalangan mereka. Bak kata pepatah “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.”Walaupun notis singkat diberi untuk kursus ini, komitmen mereka untuk hadir tak kenal sempadan. Saya dapat merasakan akan kesiapsiagaan barisan EXCO yang baru ini dalam menggalas amanah yang diletakkan di bahu mereka. Hasil dari program “retreat” tiga hari ini, saya dapat rasakan senario politik baru yang diterjemahkan melalui keikhlasan, kesungguhan dan persefahaman dalam kalangan mereka amat jelas sekali. Ini yang kita mahu. Syabas saya ucapkan.
Saya berharap agar semangat dan komitmen mereka ini berkekalan dan juga dicontohi oleh semua kepimpinan Puteri UMNO Bahagian-bahagian. “Retreat” siri kedua pula akan diadakan dengan lebih meluas dengan melibatkan semua ketua-ketua Puteri Bahagian seluruh Malaysia. Adakah anda semua bersedia?
Pergerakan Puteri ingin menunjang budaya keunggulan yang diwarisi oleh UMNO. Kita mahu kehadiran Puteri dirasai, kita mahu disayangi, kita mahu dikasihi, kita mahu dipayungi oleh keluarga besar UMNO. Kita mahu pucuk pimpinan di semua peringkat, benar-benar membuka ruang dan mengiktiraf Pergerakan Puteri berdasarkan komitmen dan kerja keras kita selama ini. Oleh yang demikian, Pergerakan Puteri di semua peringkat, bahagian, negeri, pusat, perlu menunjukkan kesungguhan, kerja keras dan komitmen yang tidak berbelah bahagi agar pucuk pimpinan memberi pengiktirafan sewajarnya dan memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada Puteri.
Maka, kita mahu orang berkata “tanpa Puteri, apalah UMNO.” Kita mahu ketiadaannya dirasai, dan kehadirannya dihormati. Bak kata pepatah baru, kalau ado, menambah, kalau tak ado, mengurang. Duk tercari-cari.
Walaubagaimanapun, berdasarkan pengalaman saya dan juga rakan-rakan dalam pimpinan Puteri, ada bahagian-bahagian tertentu Puteri yang sebelum ini yang dipandang sepi oleh pimpinan bahagian. Kita dianggap sebagai penyeri majlis, “cheerleaders” dan bermacam-macam lagi persepsi negatif. Persepsi-persepsi begini harus kita ambil secara positif, dan berusaha untuk memperbaikinya.
Dan di waktu yang sama, pimpinan UMNO bahagian-bahagian juga perlu memberikan peranan dan bimbingan kepada kepimpinan Puteri bahagian.Kita sedia maklum bahawa kepimpinan Puteri UMNO Bahagian terdiri daripada golongan wanita muda yang berpendidikan, berpengalaman dalam bidang masing-masing, dan mempunyai latar belakang yang pelbagai.
Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan memberikan penekanan yang khusus dari segi latihan, pengkaderan dan kemahiran dalam usaha untuk memperkasakan pemimpin wanita muda dalam UMNO. Inisiatif ini adalah untuk memberi pendedahan kepada politik baru supaya mereka benar-benar memahami, menjiwai dan mempunyai semangat juang yang tinggi, dalam memperkukuhkan institusi UMNO itu sendiri.Lantaran itu, kita suntik aspirasi, kita asah kreativiti, kita perkasakan ambisi, kita pelihara jatidiri, barulah pelapis yang lahir dari sayap puteri akan gah, segagah Tun Fatimah.
Latihan demi latihan perlu diadakan secara berterusan bagi memastikan setiap keahlian baru Puteri dapat memahami serta menjiwai sejarah UMNO dan sejarah penubuhan Puteri UMNO. Modul atau silibus latihan ini perlulah disuntik dengan nafas baru yang lebih segar, sesuai dengan senario politik hari ini.
Latihan dan perkaderan ini penting kerana ianya selari dengan kehendak dan tuntutan orang muda di luar sana yang mahukan kepimpinan yang telus, vokal dan berintegriti. Sesungguhnya dengan latihan, pengkaderan dan kemahiran itu akan dapat membentuk jati diri yang unggul, menjadi ikon di mata masyarakat, serta mempunyai nilai moral yang tinggi dan tidak terpengaruh dengan budaya yang boleh menjatuhkan nilai-nilai kepimpinan.Inisiatif pemerkasaan wanita bukanlah satu perkara baru. Di Malaysia amnya, di dalam UMNO khususnya, usaha-usaha memertabatkan wanita telah punya sejarah yang panjang. Ibunda dan nenda kita telah lama mempelopori hasrat dan harapan ini. Pemimpin-pemimpin wanita ternama sejak awal sejarah UMNO kesemuanya memahat nama mereka dalam arena politik ketika mereka masih lagi muda. Mereka telah sama-sama mencorak perjuangan politik sewaktu umur mereka sama dengan umur kita. Cuma yang membezakan ialah pada ketika itu Puteri UMNO belum diwujudkan lagi. Namun semangat perjuangannya tetap sama.
Maka sebenarnya, roh perjuangan Pergerakan Puteri, walaupun jasadnya menjangkau usia hampir 13 tahun, adalah kesinambungan kepada roh perjuangan pergerakan ibu-ibu serta nenda kita terdahulu.
Dalam apa jua agenda politik dalam keluarga UMNO, terutamanya Pilihanraya Umum atau pun pilihanraya kecil, golongan hawalah dilihat bertungkus-lumus bekerja untuk memenangkan parti dalam pilihanraya. Apabila berlaku krisis pun, golongan hawalah yang paling taat dan setia terhadap pucuk pimpinan parti.Menginsafi hakikat ini, Pergerakan Puteri merasakan gesaan yang dibuat oleh Pergerakan Wanita untuk menjadi tulang belakang UMNO adalah amat relevan sekali. Dulu, Wanita dikenali sebagai Kaum Ibu, kemudianya dikenali sebagai sayap Wanita. Dan kini Puteri menyokong penuh agar sayap Wanita dinaikkan taraf sebagai tulang belakang UMNO.
Kewujudan Puteri bukan untuk menyaingi mana-mana pihak, waima Pergerakan Wanita. Kewujudan Puteri adalah untuk saling melengkapi dan menyayangi Pergerakan Wanita. Meriahnya Pergerakan Puteri membayangkan kemeriahan Pergerakan Wanita. Ramainya ahli Puteri, maka ramailah ahli Wanita, moleklah sekiranya Pergerakan Puteri juga diberikan keahlian automatik, sama seperti Pergerakan Pemuda, dan bukan lagi diberi pilihan samada mahu menjadi ahli Pergerakan Wanita atau Puteri lagi. Segala pengalaman dan pendedahan kepimpinan dalam Puteri sebenarnya juga adalah latihan kepada pemimpin-pemimpin muda ini untuk sama-sama memperkasakan UMNO.Di kesempatan ini, tidak salah sekiranya saya ucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan kita dari Pergerakan Puteri kepada kepimpinan Pergerakan Wanita yang melantik dan memberi tempat serta peluang untuk mantan-mantan kepimpinan Puteri untuk turut sama berada dalam gelanggang Wanita. Jika disorot kembali 10 tahun yang lepas, jauh bezanya dengan sekarang, di mana kedudukan mantan-mantan pemimpin Puteri UMNO nampaknya semakin mendapat tempat di dalam Pergerakan Wanita. Alhamdulillah saya panjatkan.Keahlian automatik wanita-wanita muda ke dalam Puteri akan memperkukuhkan lagi Pergerakan ini. Rekod cemerlang Pergerakan Puteri akan diteruskan, membawa bersama pengalaman dan keunggulan yang telah dipamerkan dalam Pergerakan Puteri. Dengan jumlah terkini keahlian seramai 368,481 orang ahli, tidak mustahil untuk kita mensasarkan keahlian kita seramai 500,000 orang ahli dalam penggal ini. Bak kata seorang pujangga dari Amerika, dengan izin, There will always be someone that tells that you can't do anything. Your mission is to prove them wrong.Menjunjung transformasi yang dibawa oleh YAB Presiden dalam pindaan perlembagaan, yang diterjemahkan melalui pemilihan parti baru-baru ini, telah menyemarakkan amalan demokrasi dalam UMNO. Tahniah, pemilihan baru-baru ini membuktikan UMNO berani untuk melaksanakannya.
Namun, melalui apa yang dapat dilihat sewaktu pemilihan yang telah berlalu, Pergerakan Puteri merasakanperlunya ada beberapa penambahbaikan. Antaranya, syarat perlu menjadi ahli selama tiga tahun sebelum melayakkan diri mereka untuk bertanding apa-apa jawatan di peringkat bahagian dan pusat adalah tidak munasabah dan tidak mesra.
Syarat ini akan mengekang ahli-ahli wanita muda untuk bersama menjadi pimpinan di peringkat bahagian mahupun diperingkat nasional. Kita mahu dilihat lebih terbuka dan inklusif kepada remaja-remaja yang berumur 18 tahun ke atas. Inilah maksud peremajaan UMNO sebenar.
Jelasnya, Puteri UMNO memainkan peranan besar untuk menjayakan proses peremajaan semula parti, agar kesinambungan sokongan dari golongan muda terus berkekalan.
Sekiranya peruntukan ini dikaji semula, saya percaya lebih ramai lagi wanita-wanita muda yang akan berminat untuk memimpin Pergerakan Puteri, lantas Pergerakan Puteri UMNO akan terus menjadi sebuah pergerakan sayap yang dipenuhi harapan masa depan. Kilang Puteri bakal menjadi lebih exuberant (dengan izin).
Isu keselamatan wanita dan kanak-kanak adalah antara isu yang sedang hangat diperkatakan. Tiga hari lepas, kita dikejutkan dengan kejadian yang melibatkan tiga orang adik-beradik yang telah dibunuh kejam, dan pihak polis telah mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai kes bunuh. Kita sangat terkejut dan berasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa.
Kejadian culik juga kian menjadi-jadi. Baru-baru ini seorang bayi berumur 20 bulan, Baby Freddie, telah diculik dari perkarangan rumahnya sendiri.
Belum terpadam dalam ingatan, apa yang telah terjadi kepada adik Nurin Jazlin. Kenapa kejadian seperti ini masih berlaku? Bagaimana kita boleh mencegahnya dari berlaku? Apakah peranan kita untuk mencegahnya dari berlaku?Bagaimana pula dengan insiden seorang isteri ditendang dan ditumbuk suami di dalam lif? Kejadian yang berlaku di hadapan anak-anak mereka ini telah dirakamkan dalam kamera CCTV, dan dikongsi berleluasa di YouTube.Di Seremban pula, berlaku kes ragut yang melibatkan mangsa yang membonceng motosikal yang ditunggang oleh anak perempuannya. Mangsa terjatuh apabila suspek menendang motosikal setelah gagal meragut beg tangannya. Lebih menyedihkan, dalam beg tangan itu tak ada apa pun, yang adabedak dan gincu. Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Terlalu banyak kejadian-kejadian yang mengejutkan rakyat Malaysia kebelakangan ini, dan selalunya ia melibatkan mangsa dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. Kejadian-kejadian ini amat membimbangkan dan kadangkala masyarakat merasakan bahawa persekitaran mereka tidak selamat.
Pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh kerajaan dan Polis DiRaja Malaysia demi membanteras kegiatan jenayah yang berleluasa kini, terutamanya terhadap wanita dan kanak-kanak. Tindakan-tindakan tegas yang diambil oleh PDRM dan kerajaan sekarang jelas menunjukkan keseriusan pihak berkuasa untuk mengurangkan kebimbangan rakyat. Namun demikian, Pergerakan Puteri merasakan usaha-usaha yang dilakukan pihak berkuasa ini masih tidak dapat membendung jenayah-jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak serta tidak mengubah persepsi masyarakat.Pergerakan Puteri memuji usaha yang dijalankan Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat dengan mengadakan kempen selama 60 hari menangani keganasan terhadap wanita, yang dilancarkan 10 Oktober yang lepas. Ini adalah satu usaha yang amat baik, namun kami merasakan bahawa ia masih lagi belum mencukupi, kerana rakyat masih ketakutan dan merasakan diri dan keluarga mereka tidak selamat.Saya tertarik dengan usaha sebuah badan NGO, yang baru-baru ini telah menerbitkan sebuah video kesedaran yang telah dimuatnaik ke laman YouTube. Video ini menunjukkan betapa mudahnya anak-anak kita dipengaruhi, dan akhirnya diculik. Mari kita berhenti sejenak dan saksikan video yang dihasilkan ini. (video sedang ditayangkan)
Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan, anggota-anggota keselamatan negara seperti polis, tentera, Jabatan Pertahanan Awam, badan-badan bukan kerajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat, persatuan-persatuan penduduk, dan sebagainya, untuk menjaga keselamatan diri kita dan keluarga kita. Namun, apakah pula peranan kita sendiri dalam memastikan keselamatan keluarga kita terjamin? Sebagai contoh, sewaktu kita kecil, kita diajar oleh ibubapa supaya tidak bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Namun sekarang, adakah kita mengajar anak-anak kita perkara yang sama, adakah kita mengingatkan adik-beradik kita tentang perkara yang sama, adakah kita memberi amaran kepada saudara-mara kita tentang perkara yang sama?
Saya setuju norma peradaban kita sebagai masyarakat Asia sangat berbeza dengan norma masyarakat yang membawakan ungkapan terkenal “Don’t talk to strangers”. Kita diajar menjadi peramah dan bersopan santun kepada sesiapa jua, waima kepada orang yang tidak kita kenali. Namun, keramahan dan adab sopan ada batasnya. Janganlah sampai kita terpedaya sehingga mengakibatkan diri kita dilanda musibah dan bencana.
Puteri UMNO sekali lagi menggesa kempen yang berterusan harus digerakkanoleh semua pihak bagi menanamkan kesedaran tentang aspek keselamatan dan juga rumahtangga. Amat perlu ditubuhkan sebuah badan pemikir untuk mengkaji semula Akta Perlindungan Kanak-Kanak & Wanita agar ia lebih inklusif dan bertindak menjanjikan hukuman yang setimpal kepada pesalah.
Sewaktu melancarkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Shah Alam Oktober lalu, YAB Presiden telah berkata, ”Aspirasi untuk mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai dengan penglibatan bersama semua, terutamanya kaum majoriti Bumiputera. Kerajaan komited untuk terus memperkasakan penyertaan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara dan menjadikan agenda Bumiputera sebagai agenda Nasional."
Sewaktu berlangsungnya World Islamic Economic Forum di London pada 29 Oktober yang lepas, YAB Presiden telah menutup ucapan beliau dengan kata-kata yang melonjakkan semangat kami, kaum hawa. Beliau berkata, “Dengan memberikan pendidikan kepada kaum wanita, dengan mengukuhkan penglibatan kaum wanita dalam tenaga kerja, dan dengan memastikan peluang-peluang yang tertinggi kekal terbuka untuk semua, kita mampu memperkukuhkan lagi syarikat-syarikat kita, ekonomi kita dan juga prospek kita untuk masa hadapan.”
Ini adalah mesej jelas kerajaan pasca PRU-13 yang mahukan kaum Bumiputera, dan wanita, untuk bangkit memajukan diri. Tidak kiralah samada anda berniaga tudung dan ajaba di Rasta, atau berniaga baju “Bundle baby” di Uptown, masanya sudah tiba untuk kita menyahut seruan pemerkasaan ekonomi ini. Sekiranya kita bulatkan tekad dan jujur dalam amalan kita, Insya-Allah, kejayaan akan menjadi milik kita semua.
Program siri perniagaan "Puteri On Wheels" bakal diperkenalkan bagi memberikan latihan dan penerangan kepada wanita-wanita muda seluruh negara, tentang peluang perniagaan yang ada dalam negara kita ini. Pepatah Cina purba ada menyebut, “Berikan seseorang seekor ikan, maka dia akan kenyang seharian. Tapi jika diajar memancing, dia akan kekenyangan sepanjang hayatnya.” Kita boleh beri bantuan dari segi kewangan dan material, tetapi sekiranya kita berikan ilmu kepada mereka, Insya-Allah, mereka akan lebih berjaya.
Perniagaan bukan sahaja terhad kepada penjualan barangan semata-mata. Skop perniagaan yang diperkasakan oleh media sosial tidak harus terlalu jumud. Banyak lagi contoh perniagaan yang boleh digerakkan, seperti memberikan perkhidmatan dalam bidang-bidang tertentu. Sebagai contoh, perkhidmatan pedicure & manicure boleh dijalankan dari rumah ke rumah. Begitu juga perkhidmatan urutan perbidanan untuk wanita-wanita muda yang baru bersalin. Sekiranya pakej yang menarik ditawarkan dan strategi pengiklanan jitu dibuat, nescaya perniagaan ini mampu berjaya.
Puteri menyarankan agar media sosial digunakan secara bertanggungjawab. Banyak faedah dan manfaat boleh diperolehi sekiranya kita bijak mengaplikasikan platform ini.
Tidak dapat dinafikan, media sosial kian menjadi lubuk buat ahli-ahli perniagaan menjalankan perniagaan mereka. Malahan, media sosial kini lebih berpengaruh berbanding dengan media massa seperti televisyen dan radio. Ini adalah kerana pengguna peranti-peranti pintar semakin meluas di dalam negara kita. Akses kepada Facebook, Twitter, Instagram boleh dicapai tidak kira di mana-mana sahaja, waima di dapur ketika memasak makan malam buat keluarga. Orang ramai lebih kerap mengintai apa yang tertera pada skrin telefon atau komputer jika dibandingkan dengan televisyen atau papan-papan iklan. Ini fakta, bukan auta. Di manakah letaknya kita dalam era ini? Bagaimanakah ini boleh membantu kita?
Media sosial kian dirujuk oleh "industry players" sebagai ruang utama dalam memasarkan produk-produk. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Zeno Asia, 27 peratus syarikat-syarikat kini mempromosikan perniagaan mereka menerusi media sosial, 21 peratus pula melalui "mobile marketing” manakala hanya 15 peratus di televisyen. Oleh yang demikian, program bagi memperkenal dan memperkasakan perniagaan online saya percaya akan dapat menarik minat ramai wanita muda dalam usaha untuk memartabatkan taraf ekonomi mereka. Malahan bantuan kewangan yang disediakan bagi sesiapa yang berminat untuk menjalankan perniagaan perlulah dipermudahkan.
Kita harus memandang semua ini dari sudut positif, dan mengambil kesempatan di atas kuasa ajaib media sosial. Biarkanlah pembangkang gunakan media sosial untuk menyebarkan fitnah serta kekeliruan, kita di sini janganlah merendahkan martabat kita sama seperti mereka.
Dewasa ini, ramai dalam kalangan wanita muda telah pun mengorak langkah, memulakan perniagaan secara kecil-kecilan melalui Facebook atau Instagram. Zaman sekarang bukanlah zaman yang mana kita boleh berpuashati dengan apa yang kita ada. Kita perlu lebih berusaha untuk memperkasakan ekonomi diri dan keluarga dari semua aspek. Bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan. Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan bisa dapat sagunya. Kita ikut resam yang telah ditunjukkan oleh usahawan-usahawan Internet yang berjaya seperti Zawara, Fashion Valley, Atitaharis dan lain-lain.
Sehubungan dengan itu, kita menggesa lebih banyak dana-dana bantuan untuk usahawan-usahawan yang mengkhusus kepada agenda-agenda wanita, contohnya Amanah Ikhtiar Malaysia yang baru diumumkan mendapat tambahan dana berjumlah RM300 juta. Ini kerana, telah terbukti bahawa golongan Hawa adalah golongan pembayar hutang yang lebih baik daripada kaum Adam.
Dengan bertemakan ‘Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji’ saya yakin dan percaya Bajet yang telah dibentangkan oleh YAB Presiden tempoh hari amatlah bertepatan dan bersesuaian dengan harapan dan kehendak rakyat.Selaras dengan Manifesto Barisan Nasional yang telah dibentangkan oleh YAB Presiden pada 6 April 2013, selepas memenangi PRU13, Barisan Nasional telah berjanji untuk memperkukuhkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja dan menggalakkan kesaksamaan gender bagi memaksimumkan potensi wanita.
Antara peruntukannya adalah untuk menyediakan wanita dengan pilihan untuk berada di barisan hadapan dalam perniagaan; dan sentiasa bersikap inovatif tanpa menyerah kalah pada naluri semulajadi mereka sebagai suri-suri rumah.
Saya memuji langkah Kementerian Pembangunan Wanita & Keluarga dalam usaha mengangkat peranan wanita ke hierarki korporat dengan mengadakan program-program seperti Pengarah Wanita Musim ke-2 yang melatih wanita untuk menjadi sebahagian daripada Lembaga Pengarah. Susulan daripada itu, Menteri Pembangunan Wanita & Keluarga sendiri turut mengatakan bahawa dalam setiap lembaga pengarah mestilah perlu ada seorang wanita.
Pergerakan Puteri UMNO merasakan usaha ini tidak mapan. Banyak lagi usaha perlu dijalankan oleh kementerian berkaitan sekiranya hendak memenuhi polisi 30 peratus pegangan wanita dalam posisi kanan, pembuatan keputusan, sekiranya kita serius untuk membantu meningkatkan bilangan wanita dalam tenaga kerja.
Sebaliknya, Pergerakan Puteri menyambut baik saranan yang diberikan oleh Perdana Menteri kita kepada sektor korporat didalam Sidang Kemuncak Global Wanita 2013. Perdana Menteri dengan secara terbukanya telah mencabar sektor korporat untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita memegang jawatan kanan pembuatan keputusan dan lembaga korporat, termasuk di dalam GLC dan pelbagai suruhanjaya, menjelang 2016.
Kita semua pernah remaja, kita harapa remajar-emaja ini adpat hidup dalam moral dan adab yang baik
Generasi muda hari ini semakin menginsafi kepentingan undi mereka dalam proses pembinaan Negara Bangsa. Konsep Negara bangsa haruslah berpaksi kepada majoriti bangsa induk dalam sesebuah negara. Dalam konteks Negara Malaysia, Bangsa Induknya adalah Bangsa Melayu, budayanya adalah Budaya Melayu, dan agamanya adalah Agama Islam. Ini amat bersesuaian dengan penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN). Melalui MKPN dan kerjasama pelbagai pihak, kita akan dapat mengukuhkan lagi usaha perpaduan nasional. Ini bertepatan dengan semangat 1Malaysia seperti yang diwar-warkan oleh YAB Presiden kita, dan ini jelas bertentangan dengan konsep “Malaysian, Malaysia” oleh parti DAP. Sejarah di sebalik pembentukan Malaysia harus dijadikan pedoman, dalam menzahirkan masa depan negara yang lebih dinamik. Kemajuan negara harus juga seiring dengan kemajuan sosio-ekonomi dan kami percaya, konsep “Negara Bangsa” wajar diketengahkan, untuk terus mengisi kemerdekaan ini.Kita juga harus berjuang di atas landasan yang sama, dengan YAB Presiden untuk memenangi hati rakyat. Jalan perjuangan kita agak sukar apabila pihak lawan tampak begitu bersungguh-sungguh, untuk mempengaruhi rakyat dengan pelbagai helah dan kantung janji. Namun begitu, suka saya ingatkan bahawa YAB Presiden telah dan sedang berusaha untuk memenuhi manifesto akujanji PRU. Pelbagai insentif dan bantuan telah diumumkan, khususnya dalam Bajet 2014, dan Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Kita harus turun ke akar umbi dan sampaikan mesej-mesej positif ini kepada rakyat. Tunjukkan kepada mereka bukti kesungguhan Barisan Nasional dan UMNO untuk mengangkat martabat rakyat. Dalam seru semangat yang serupa, marilah kita membulatkan tekad, untuk bersedia menghadapi PRU-14. Tempoh empat tahun itu seharusnya diisi dengan menyusun strategi dan berjuang menghadapi kemaruk quasi-liberal Pakatan Rakyat. Puteri sebagai agen survival parti harus turut serta mengembleng tenaga dalam memastikan keluh kesah wanita muda diambil perhatian. YAB Presiden pernah berkata, “Tidak ada yang mustahil jika kita mampu mengimpikannya, sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita masih berada di hadapan kita bukannya sudah tinggal dalam lipatan sejarah." Jalan di hadapan masih panjang,dan harus kita tempuhi demi mengangkat martabat bangsa dan negara ke persada dunia. Sesungguhnya kita sedang berhadapan dengan kelok cabaran yang paling getir dalam sejarah pilihanraya sebelum ini, Alhamdulillah, berkat perjuangan ikhlas, doa dan istiqomah rakan-rakan seperjuangan, UMNO telah berjaya memperbaiki prestasi dalam pilihanraya yang lepas, dan Barisan Nasional kekal memegang amanah untuk mentadbir negara.Kebahagiaan kita tidak ditentukan oleh orang lain, melainkan kita sendiri. Apa yang kita usahakan hari ini akan menentukan kebahagiaan masa depan. Empat tahun itu singkat, pejam celik, pejam celik, PRU-14 pun sampai. Saya tak fikir kita boleh duduk santai. Segala persediaan harus kita mulakan hari ini, jam ini, saat ini, detik ini.
Sebelum itu, izinkan saya untuk menzahirkankan seikhlas penghargaan kepada barisan kepimpinan tertinggi UMNO, yang telah memberi kepercayaan kepada Pergerakan Puteri, untuk bertanding di 9 kerusi pada PRU-13 yang lepas. Alhamdulillah, calon-calon Puteri telah memenangi 8 daripada 9 kerusi yang dipertandingkan. Tahniah juga kepada seluruh Jentera Pilihanraya Puteri yang telah bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional baru-baru ini. Seantero jentera yang bertanggungjawab atas pelbagai tugasan, contohnya portfolio IT, portfolio bacaan sikap, portfolio perayu undi telah sama-sama berganding bahu untuk meraih sokongan golongan muda. Program-program yang dilaksanakan oleh Puteri sepanjang PRU-13 terbukti berkesan untuk menarik minat rakyat untuk menyokong kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional. Kita harus menelan hakikat bahawa kemenangan Barisan Nasional baru-baru ini hadir dengan harga yang mahal. Kekuatan ikatan Barisan Nasional semakin dipersoal, dan sekiranya kita tidak bersatu, nescaya kita akan lumpuh selumpuhnya. Sokongan pengundi di kawasan-kawasan bandar kepada Barisan Nasional semakin berkurangan. Penyebaran maklumat yang meluas melangkaui sempadan antara penyebab mengapa mereka sangsi dengan perjuangan Barisan Nasional. Peralihan sokongan kelompok ini perlu diambil iktibar dan perlu dikaji semula agar dapat ditangani dengan lebih berkesan.Melesetnya sokongan Kaum Cina merupakan antara faktor kelemahan sokongan kepada Barisan Nasional. Ini terbukti apabila kita melihat kepada merosotnya jumlah sokongan undi kepada Barisan Nasional di kawasan-kawasan yang didiami kaum cina. Oleh yang demikian, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah menubuhkan Biro Sahabat Puteri. Penubuhan Biro ini bertujuan bagi menarik sokongan orang muda tanpa mengira jantina, tanpa mengira kaum, dari pelbagai latar belakang, dari kalangan NGO, profesional, pelajar dan juga dari kalangan mahasiswa.Dalam merealisasikan Biro Sahabat Puteri ini, saya mengalu-alukan mantan-mantan pemimpin Puteri untuk terus menyumbang idea dan bersama-sama kami dalam usaha mendekati orang muda. Saya percaya, ini dapat membantu kita dalam usaha untuk memperbaiki prestasi Barisan Nasional dalam PRU-14. Persediaan yang syumul, harus dibuat sebelum kita menghadapi gelombang cabaran yang lebih ganas.
Saya mengumumkan kehadiran mantan Ketua Puteri UMNO yang pertama Datuk Seri Azalina Othman Said begitu juga mantan penolong setiuasaha, Bibi Shaliza Mohd. Khalid. Golongan muda semakin berahi untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi negara. Oleh yang demikian, Pergerakan Puteri berharap gerak kerja Daftar Pemilih harus diperkemaskan, dipergiat dan dipertingkatkan di setiap bahagian, dan dibuat secara strategik, berterusan dan teratur. Ini adalah aspek penting yang perlu diberi penekanan dalam usaha kita untuk memastikan kemenangan UMNO dan Barisan Nasional dalam PRU-14 nanti. Oleh yang demikian, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia memohon agar kepimpinan tertinggi UMNO mengamanahkan tanggungjawab ini untuk digalas oleh Pergerakan Puteri, di semua peringkat.
Ini adalah kerana, Pergerakan Puteri menyedari, keputusan PRU-13 meletakkan pengundi muda sebagai aset terbesar, tidak dapat dipertikaikan. Seorang daripada sepuluh pengundi dalam PRU-13, adalah pengundi kali pertama, iaitu pengundi muda. Golongan ini akan semakinbercambah dalam PRU-14, dan Puteri sedar betapa usaha yang berterusan harus dibuat bagi memikat hati golongan ini.Barisan Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia harus mengambil langkah proaktif, dan memainkan peranan penting dalam setiap bidang yang mereka kepalai. Kerahan akan dibuat bagi mengadakan perbincangan, dan makmal kajian (Labs), bagi menyusun halatuju bidang masing-masing akan ditubuhkan. Pihak yang berkaitan seperti badan-badan bukan kerajaan, dan wakil-wakil kerajaan akan turut dipanggil bagi membincangkan isu-isu yang dekat di hati pengundi-pengundi muda.Pergerakan Puteri UMNO juga, akan mengadakan kaji selidik secara besar-besaran, bagi mendapatkan maklumbalas berkenaan isu-isu yang menggamit wanita-wanita muda. Kajiselidik ini akan dilaksanakan secara atas talian (online), mahupun secara on ground. Kaji selidik ini akan melibatkan ahli Puteri di peringkat akar umbi supaya kita dapat mengumpul data yang terperinci dan lengkap. Apakah isu yang dekat dengan kita? Apa pula yang mengganggu gugat kedamaian jiwa kita? Kita akan kaji, dan kita akan laksanakan. Insya-Allah.Era politik masakini menuntut kita mendakap kaedah baru yang progresif. Cara lama sudah obsolete dan takboleh kita aplikasikan lagi dalam usaha kita meredah gelora zaman edan. Tiupan angin bencana buatan pembangkang, sentiasa mengancam keutuhan kita; maka kini bukanlah masa untuk kita bercelaru, bertikam-lidah, berpecah-belah, membela ego dan menerjah asas perjuangan parti. Buanglah yang keruh, ambil yang jernih. Pasangkan puisi-puisi nasionalis yang bergema, pada setiap detik, di gegendang telinga kita. Ingatlah pesanan generasi pengasas parti kita. Apa yang berlaku hari ini adalah igauan buruk mereka suatu ketika dulu.Saya laungkan semboyan menyeru setiapsri kandi di dewan ini, di negara ini, mari kita abadikan pemuafakatan dan setiakawan yang selama ini kita pegang. Jangan sesaat kita alpa bahawa musuh-musuh kita tidak lagi seperti dahulu, semakin sukar untuk kita bezakan antara sutera dan rayon, kaca dan permata. Mereka hanya mahu melumpuhkan kita, menabur racun dalam cakerawala kita. Ingatlah, jalan membina nusa bangsa memakan masa yang lama, mehnah perjuangan dan usaha yang tidak kenal erti letih. Namun, untuk menghancurkannya, enteng sekali. Petik jari habis. Mereka sedang mentertawakan kita, sambil menyuntik virus-virus keruntuhan, namun kerakusan mereka sebenarnya disedari oleh sekutu-sekutu mereka sendiri!Srikandi-srikandi pejuang bangsa sekalian, sebelum saya mengundur diri, padukan dalam jiwa kita bahawa hanya 35 peratus wanita-wanita muda di negara ini yang menyokong pembangkang. Kita jangan tersenyum, kita jangan bertepuk tangan atau menghela nafas lega. Jadikan angka ini sebagai satu cabaran, sebagai segenggam dorongan. Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berikrar mahu mencorotkan lagi angka ini, secorot-corotnya. Kita impikan setiap dari kita di pertiwi ini untuk sama-sama mendukung perjuangan bangsa, agama dan negara.
HIDUP PUTERI!
HIDUP UMNO!
PUTERI UNTUK UMNO, PUTERI HARAPAN UMNO!
Wabillahi taufiq wal hidayah. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuesday, 11 June 2013
AHLI PARLIMEN PEMBANGANG HILANG TELORRR!
SATU DUA TIGA BOIKOT.
ENAM BULAN, LU MESTI SANGKUT.
JIKA LU TELUR BESAR,
KALAU SPEAKER BOIKOT ENAM BULAN SAMA DIA PUNYA TIMBALAN SPEAKER....
LU APA MAU CELITA WEH LEBAT!
KUI KUI KUI
ADA TELOR TAK WAHAI MP PAKATAN PEMBANGANG?
Saturday, 27 April 2013
INANG SEKEH-MENYEKEH
WAHAI RAJA SEGALA KENA SEKEH,
ENGKAU SELALU DISEKEH.
KENA SEKEH NGAN PKR KENA SEKEH LAK NGAN PSM.
ENGKAULAH MAHARAJA KENA KENA SEKEH
KUI KUI KUI
Friday, 26 April 2013
MIKE TYSON vs MIKE TYSON...SIAPA MENANG?
Subscribe to:
Posts (Atom)